Teknik Animasi tradisional

Sel

Gambarajah ini menunjukkan bagaimana dua helai sel lutsinar, setiap satunya tertulis satu watak yang berlainan, difotokan sekali dengan latar belakang yang legap untuk membentuk imej kompost.

Sel merupakan hasil inovasi yang penting bagi animasi tradisional, kerana ia membolehkan sesetengah bahagian pada setiap pemidang diulangi dari pemidang ke pemidang, sekaligus menjimatkan tenaga kerja. Satu contoh ringkas ialah satu babak dengan dua orang watak pada skrin, iaitu seorang bercakap dan seorang lagi berdiam. Memandangkan seorang watak itu tidak bergerak, ia boleh dipaparkan dalam babak ini dengan hanya satu lukisan pada selembar sel, sementara berbilang lukisan pada berbilang sel akan digunakan untuk menghidupkan watak yang bercakap itu.

Sebagai contoh yang lebih rumit, anggaplah babak seorang gadis meletakkan pinggan di atas meja. Meja itu pegun buat keseluruhan babak, maka ia boleh diterapkan dalam latar belakang. Pinggan itu boleh dilukiskan sekali dengan gadis apabila gadis itu meletakkannya di atas meja. Namun begitu, setelah terletak di atas meja, pinggan itu tidak bergerak lagi, biarpun gadis itu masih bergerak dengan mengalihkan lengannya daripada pinggan itu. Dalam contoh ini, selepas gadis itu meletakkan pinggan itu, pinggan itu boleh dilukis pada sel yang berasingan daripada gadis itu. Pemidang-pemidang yang selanjutnya akan menampilkan sel-sel baru bagi gadis itu, sedangkan pinggan itu tidak perlu dilukis semula kerana tidak bergerak lagi; sel yang sama bagi pinggan itu boleh digunakan di setiap pemidang yang tinggal kerana ia pegun di atas meja. Cat sel sebenarnya dibuat dalam pelbagai cahaya warna bagi setiap warna untuk mengimbangi lapisan sel tambahan yang tersisip di antara imej dan kamera; dalam contoh in, pinggan yang pegun itu akan diwarnai lebih terang sikit sebagai imbangan kerana diturunkan satu lapisan.

Dalam filem-filem kartun yang paling awal keluar sebelum penggunaan sel, misalnya Gertie the Dinosaur (1914), seluruh pemidang termasuk latar belakang dan semua watak dan objek, dilukis di atas sehelai kertas sahaja, kemudian difotokan. Segalanya perlu dilukis semula buat setiap pemidang yang mengandungi pergerakan. Ini menyebabkan gambar kelihatan "gugup-gugup"; bayangkan bentuk gunung di latar belakang yang berubah-ubah atau bergerak-gerak sedikit. Animasi pra-sel ini kemudiannya diperhalusi dengan teknik-teknik seperti sistem "potong dan koyak" (slash and tear) ciptaan Raoul Barré[2], yang mana latar belakang dilukis pada kertas yang berasingan daripada objek-objek yang bergerak. Setiap pemidang dibuat dengan membuang semua bahagian kosong pada kertas di mana objek-objek itu dilukis sebelum diletakkan di atas latar belakang dan akhirnya difotokan. Proses animasi sel dicipta oleh Earl Hurd dan John Bray pada tahun 1915.[3]

Animasi terbatas

Penerbitan animasi berbelanja rendah sering menggunakan cara-cara mudah yang terdapat menerusi teknik sel. Misalnya, dalam babak yang mana seorang lelaki duduk atas kerusi sambil berbual, kerusi dan badan lelaki itu bolehlah kekal sama dalam setiap pemidang; cuma kepalanya yang perlu dilukis berkali-kali, ataupun kepalanya pegun sementara mulutnya sahaja yang bergerak. Ini dipanggil animasi terbatas. Proses ini dilariskan dalam filem-filem kartun terbitan United Productions of America dan digunakan dalam kebanyakan animasi televisyen, khususnya terbitan Hanna-Barbera. Hasilnya tidak begitu hidup, tetapi penerbitannya tidak menelan belanja yang besar, oleh itu kartun boleh dihasilkan walaupun bajet yang diperuntukkan tidak besar.

Berkaitan